SeLaMaT MeNjEnGuK Ke TeRaTaK MaYa Ku

Isnin, 17 November 2008

amanah itu berat

Maksud Hadith:

Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda kepadaku:”Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta- minta untuk menjadi pembesar Negara, kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau dilantik (diangkat) tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam menjalankan tugasmu.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Huraian:

Amanah dan tanggungjawab jika dilaksanakan secara kolektif dan penuh keikhlasan akan menimbulkan semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik. Oleh itu tidak dinafikan bahawa tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin bukannya mudah. Sudah tentu akan ada kawan dan juga lawan.

Sebagai rakyat yang dipimpin pula, kita tentulah berharap agar setiap pemimpin itu akan sentiasa memberikan yang terbaik dalam memimpin, bukannya membelakangkan kebajikan dan kepentingan rakyat yang dipimpinnya.

Demikian juga sebagai pemimpin, mereka tidak boleh mementingkan populariti dan menceburkan diri dalam arena politik semata- mata untuk menambah kekayaan peribadi, menggunakan wang dan menyalahgunakan kedudukan politik untuk menarik sokongan. Kuasa yang ada sebenarnya adalah amanah dan hendaklah digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Namun apa yang berlaku ialah tidak semua pemimpin mempunyai keikhlasan dalam memikul tanggungjawab mereka, bahkan tidak menyedari tentang beratnya tanggungkjawab dan amanah yang dipikul. Sesetengah mereka menjadikan jawatan sebagai batu loncatan untuk hidup senang – lenang.

Oleh sebab itu, janganlah kita merasa hairan apabila ramai yang berani menampilkan diri untuk menjadi pemimpin malah berlumba- lumba untuk menjadi pemimpin padahal dalam hati mereka sendiri tidak ada keikhlasan, hanya mengejar populariti semata- mata.

Maka disinilah pentingnya peranan rakyat dalam memilih bakal pemimpin mereka. Adakah dia benar- benar layak atau sebaliknya kerana jika kita tersilap dalam memilih, padahnya adalah kepada diri kita sendiri sebagai rakyat dan generasi selepas kita, malah Negara juga akan ditimpa mudharat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan